Tuesday, January 1, 2019

BIODATA PENULIS





Teks :Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://berceraibukansatumusibah.blogspot.com


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Semoga yang sudi singgah membaca segala entri diblog saya ini dikurniakan kesejahteraan dan juga rezeki yang melimpah ruah.
Terima kasih juga buat Pn Masayu Ahamd kerana sudi memberi peluang dalam process menerbitkan ebook sulung buat pertama kalinya.

Mungkin ada kekurangan dimana-mana dan hanya maaf dipinta atas segala kekurangan diri ini. Izinkan saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu sebelum meneruskan penulisan saya yang sebenarnya.

Berasal dari Kuala Lipis Pahang dan sekarang hampir berumur 45 tahun. Dah agak berumur sebenarnya jika dibandingkan dengan rakan-rakan penulis yang lain. Mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah rendah dan menengah di daerah tercinta Kuala Lipis Pahang.
Dan yang bestnya dahulu saya dan penyanyi no 1 negara Datuk Siti Nurhaliza,  belajar dalam sekolah yang sama. Waktu Datuk Siti di tingkatan 1, saya sudah pun berada dalam tingkatan 5. Seingat saya Datuk Siti dan abangnya memang agak aktif menyanyi di daerah kesayangan saya itu.

Berkelulusan SPM dan bersekolah di Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis Pahang. Mula berminat dengan penulisan sejak dibangku sekolah lagi. Yang mana satu dahulu sangat suka mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga Sastera.

Kehidupan pada waktu itu tidaklah sesenang mana. Ayah pula hanya bekerja di KTM dan gajinya tidaklah sebanyak mana. Tambah pula dengan keadaan arwah emak yang sedang sakit.

Itulah sebabnya saya nekad untuk terus bekerja setelah mendapat keputusan peperiksaan SPM. Sebenarnya saya teringin sekali untuk belajar lagi. Memandangkan keadaan arwah emak yang lebih banyak perlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi maka saya tangguhkan dahulu niat untuk belajar lagi.


Perkerjaan pertama saya pada waktu itu adalah bekerja sebagai seorang pembantu jualan di salah sebuah pasaraya di jalan Tuanku Abdul Rahman. Hanya beberapa bulan selepas itu saya berhenti dan bekerja pulak di sebuah kedai menjual ayam yang telah diproses .
Agak lama jugalah bekerja dikedai tersebut sebelum saya mendapat kerja sebagai seorang kerani disalah sebuah syarikat Jepun yang menguruskan penghantaran barang secara eksport dan juga import.
Yang banyak memberi pertolongan waktu itu adalah bapa saudara yang juga bekerja di aliran perkerjaan yang sama tetapi berlainan syarikat.

Bertahun lama juga bekerja di syarikat eksport dan import sehinggalah saya berkahwin dan juga mempunyai anak.

Semenjak saya mengandung dan melahirkan seorang anak, waktu itu saya telah pun berhenti kerja dan hanya bekerja dari rumah dengan mengambil upah menjahit secara kecil.
Bukanlah menjahit baju, hanya membantu jiran menjahit jahitan tulang belut dan juga mata lalat.

Selain gemar menjahit, saya juga suka meluangkan masa membaca buku dan juga menulis. Apabila ada sahaja masa lapang saya akan menulis coretan pada apa yang berlaku setiap hari juga segala aktiviti yang telah saya lakukan setiap hari.

Secara jujurnya minat menulis ini telah ada sejak dibangku sekolah lagi, cuma semuanya tertanggung sejak saya berkahwin dan sibuk urusan menjaga arwah emak dan kemudiannya arwah anak tersayang.

Begitulah serba sedikit tentang diri saya. Sehingga kini saya masih bekerja sebagai seorang pembantu kedai di sebuah hentian rehat dan rawat PLUS. Harapan saya dengan catatan serba ringkas ini maka akan terjalinlah satu jalinan ukhwah kepada setiap pembaca yang sudi singgah membaca di entri ini.

Untuk yang terakhir kalinya saya mohon maaf andai ada penulisan dalam setiap entri blog ini yang telah menyinggung perasaan semua yang sudi singgah membacanya.

Ini adalah ebook saya yang pertama dan mohon juga doa dari semua sahabat agar setiap penulisan ebook ini berjalan dengan lancar.


Sekian
Sariah Awang Senik


No comments:

Post a Comment

AMARAN

1)  E-book ini adalah hak cipta terpelihara Sariah Awang Senik. 2) Anda dilarang sama sekali sama ada mengubah, mengedar atau menjual e-...