Wednesday, January 2, 2019

BAB 2 PERJALANAN BARU


Teks : Sariah Awang Senik

http://perceraianbukansatumusibah.blogspot.com

 1.2   STATUS DIRI


Perkara pertama apabila telah sah sahaja satu perceraian, maka secara automatik status diri seorang wanita pun berubah.
Berubah dari gelaran seorang isteri kepada seorang ibu tunggal ataupun janda.
Bergelar ibu tunggal ini bukan gelaran yang diimpi-impikan oleh hamba Allah yang bernama wanita.

Saya sendiri tak pernah terfikirkan akan diri yang telah pun bertukar status.
Rata-rata semuanya nampak begitu asing kepada diri saya.

Yang paling teruk adalah pandangan masyarakat kita terhadap status diri seorang janda.
Pada hati wanita yang lain yang bernama isteri, gelaran janda atau ibu tunggal ini bagaikan satu ancaman yang paling besar.

Bimbang jika suami-suami mereka akan tergoda dengan seorang ibu tunggal.
Memang keadaan akan bertambah sukar dan menyulitkan keadaan. Ada juga ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan dan mungkin membuat perkara-perkara yang tak sepatutnya.

Rasa rendah diri, kecewa, sedih dan marah semuanya bercampur-campur.
Apa pun berusahalah untuk bangkit dari semua rasa yang negatif itu.
Jangan terlalu lama bersedih dan buang masa mencari salah sendiri.

Perkara pertama kembalilah kepada Allah yang maha esa dan yakinlah apa sahaja yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri.
Mungkin segala yang Allah tetapkan kita langsung tak menyukainya tetapi dari sudut yang lain, itulah jalan yang paling terbaik.

Allah nak kita kembali kepadaNYA dan terus memohon ampun dan berdoa agar semua yang berlaku dipermudahkan.
Memang kita masih lagi rasa janggal untuk sesuaikan status diri yang telah berubah menjalani kehidupan bersendirian kembali.

Jika ada anak-anak, pandanglah wajah anak-anak sepuasnya . Tataplah wajah mereka yang polos tanpa memahami segala apa yang telah berlaku.
Anak-anak takkan pernah faham apa yang bergolak antara ibu dan ayah mereka.
Apa yang pasti anak-anak terpaksa berpisah kasih sayang dengan ayah yang selama ini menjadi wira dalam hati mereka.

Cari kekuatan diri sendiri apabila kita terus fikirkan tentang soal anak-anak.
Jika masih lagi buang masa fikirkan nasib status diri yang telah berubah maka kita telah melambat-lambatkan satu proses pemulihan bukan sahaja diri sendiri malah anak-anak tersayang.
Saya sendiri memberi ruang kepada diri untuk pulih dan terus bangkit bersemangat demi anak-anak tersayang. Semasa tempoh iddah selama tiga bulan dan juga selepas tempoh iddah itulah saya terus berfikir apakah perkara yang sepatutnya saya lakukan.
Segala-galanya bukan mudah. Cabaran tetap ada.
Seboleh-bolehnya berusahalah untuk kembali membina kehidupan yang baru bersama anak-anak tanpa adanya seorang yang bernama suami.

Jikalau boleh janganlah kembali menyusah atau menbebankan kedua ibubapa kita.
Berusahalah untuk yakinkan kedua ibubapa bahawa kita mampu berdikari dan membina satu kehidupan yang lebih baik malahan lebih baik dari kehidupan yang bernama seorang isteri.
Insha Allah.

No comments:

Post a Comment

AMARAN

1)  E-book ini adalah hak cipta terpelihara Sariah Awang Senik. 2) Anda dilarang sama sekali sama ada mengubah, mengedar atau menjual e-...