Sunday, January 6, 2019

PERJALANAN BARU


Teks : Sariah Awang Senik

http://berceraibukansatumusibah.blogspot.com


4.2  BELAJAR HIDUP BERDIKARI

Bukan senang untuk membina kembali sebuah kehidupan yang baru setelah berbelas tahun hidup bersama. Namun kita hanya mampu merancang dan tuhanlah yang menentukan.
Tak pernah termimpi ataupun terbayang bahawa bergelar seorang ibu tunggal saat anak-anak masih kecil dan tidak mengerti akan pergolakan yang dihadapi oleh kedua orangtua nya ini.

Sebenarnya bukan mudah membina semuanya kembali.
Memandangkan keadaan diri yang taklah semewah mana. Yang ada hanya satu pekerjaan tetap dan sedikit kemahiran yang lain.

Permulaan perceraian, keadaan diri dan anak-anak agak terumbang-ambing.
Berusaha untuk bangkit semula walau permulaannya sangat sukar. Apabila terpandangkan wajah anak-anak juga seakan hilang kasih dan sayang seorang ayah, maka saya terpaksa lebih kuat demi anak-anak tersayang.

Bermula dengan menumpang seketika bersama adik sebelum mengambil keputusan untuk hidup sendiri bersama dengan anak-anak. Tak lama selepas itu saya bekerja semula dengan majikan lama, mencari rumah sewa yang sederhana dan fokus untuk bina semula impian yang baru bersama anak-anak.

Belajar untuk uruskan segalanya sendiri, termasuklah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan persekolahan anak-anak. Pergi dan balik kerja berjalan kaki sendiri termasuklah juga menghantar anak-anak ke sekolah.

Bahaya memang ada dimana-mana. Mengenangkan akan semua risiko itu, setiap hari tak pernah berputus asa saya berdoa agar anak-anak dan saya dijauhkan dari segala musibah yang tak diingini.

Selain itu saya juga berusaha mencari alternatif lain untuk menampung perbelanjaan anak-anak yang sedang bersekolah.
Menjahit, memasak sambal juga menulis adalah aktiviti-aktiviti yang saya lakukan supaya masa senantiasa terisi dan tak memikirkan apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini.

Alhamdulilah, sekarang anak yang lelaki sedang melanjutkan pelajaran di Politeknik Kuantan sementara anak yang perempuan bersekolah menengah agama di Slim River Perak. Semoga segala susah payah ini ada hikmahnya  dan dapat membentuk diri menjadi lebih tahan lasak hadapi apa jua cabarannya.

No comments:

Post a Comment

AMARAN

1)  E-book ini adalah hak cipta terpelihara Sariah Awang Senik. 2) Anda dilarang sama sekali sama ada mengubah, mengedar atau menjual e-...